Nov 7, 2016

Sistem Sebutan Baku Bahasa Melayu

Baku adalah seragam, standard atau piawai iaitu sesuatu yang diterima sebagai yang betul atau yang sewajarnya.

Menurut Awang Sariyan (1988:6), ahli-ahli bahasa telah bersependapat tentang dasar sebutan baku Bahasa Melayu iaitu sebutan bagi kata bahasa Melayu hendaklah berdasarkan sebutan fonemik atau sebutan berdasarkan ejaan dan bukan berdasarkan kelaziman sebutan menurut dialek Riau-Johor. Ketetapan ini dicapai dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kali Ke-3 (1956).

Bahasa baku ialah bahasa yang dianggap standard, yang mempunyai struktur yang lengkap dan sempurna dari segi sistem ejaan, tatabahasa, dan kosa kata, yang (sudah) diterima umum sebagai betul dan sah (bentuknya, sifatnya) dan dapat dijadikan asas perbandingan bagi bentuk yang lain (bukan bahasa, sebutan, ejaan, dan sebagainya). Bahasa baku mempunyai keseragaman dalam empat sistem yang utama iaitu fonologi (kajian tentang bunyi sebutan dalam sesuatu bahasa), morfologi (kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa), sintaksis (susunan kata dalam ayat) dan semantik (kajian tentang makna perkataan dan penambahan makna sesuatu kata).

Pembakuan bahasa merujuk kepada usaha, tindakan, atau proses mengetengahkan bentuk bahasa yang benar dan yang dapat menjadi dasar ukuran. Perkara yang berkaitan dengan usaha, tindakan, atau proses tersebut ialah penetapan kod dan norma bahasa daripada segala segi, iaitu ejaan, peristilahan, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa (Prof Dr Awag Sariyan, Warna dan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia, 2006)

Pelaksanaan pembakuan bahasa Melayu di sektor pendidikan iaitu pada peringkat sekolah telah dimulakan pada penggal kedua persekolahan tahun 1988 lagi semasa Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pelajaran, iaitu selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang mengusulkan sebutan baku bahasa Melayu tingkatan satu.

Sebutan baku ialah sebutan fonemik iaitu yang bermaksud sebutan berdasarkan ejaan. Perancangan pembakuan sebutan bahasa Melayu adalah menjadi salah satu objektif Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagaimana yang termaktub dalam Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Matlamat pembakuan sebutan bahasa Melayu adalah untuk menyeragamkan cara penyebutannya. K.L Pike dalam bukunya Phonemics (1943:57) menyebutkan "Kata-kata dieja sebagaimana diucapkan dan diucapkan sebagaimana dieja, dan tidak ada huruf yang senyap".

Tujuan pembakuan bahasa Melayu

Tujuan pembakuan bahasa Melayu adalah seperti yang berikut:

  1. Untuk mewujudkan satu variasi sebutan baku dalam bahasa Melayu yang dapat digunakan dalam situasi formal atau situasi rasmi.

  2. Untuk meningkatkan kecekapan berbahasa Melayu dalam kalangan pengguna bahasa.

  3. Untuk memantapkan sistem dan struktur dalaman bahasa Melayu, supaya sistem sebutannya menjadi mantap dan baku sejajar dengan pemantapan dan pembakuan tatabahasa, kosa kata (perbendaharaan kata umum dan istilah), sistem ejaan, dan laras bahasa.

  4. Secara khusus, untuk menyeragamkan cara berbahasa dan bertutur serta mengurangkan penggunaan pelbagai variasi dan gaya sebutan serta menghindarkan penggunaan dialek setempat di dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah

Garis panduan dasar umum sebutan baku

Garis panduan dasar umum tentang sebutan baku bahasa Melayu adalah seperti berikut :

  • Sebutan Huruf: Pada umumnya, setiap huruf dalam ejaan Rumi atau Jawi perlulah dilafazkan dengan jelas mengikut nilai bunyi bahasa Melayu yang dilambangkan.

  • Sebutan Kata: Sebutan kata hendaklah berdasarkan ejaan secara keseluruhan dan juga berdasarkan bentuk kata (pola pada suku kata) sama ada kata dasar atau kata terbitan.

  • Intonasi: Intonasi ialah nada suara yang turun naik atau tinggi rendah sewaktu bercakap dan hendaklah berdasarkan jenis dan bentuk ayat atau kalimat dalam Bahasa Melayu serta keperihalan keadaan yang berkenaan.

Bunyi mengikut ejaan

Daripada 26 huruf rumi bahasa Melayu, lima daripadanya ialah huruf vokal atau huruf bunyi. Huruf-huruf inilah yang menentukan bunyi sesuatu sebutan dalam bahasa Melayu.

Huruf VokalContoh

a

ba-ba

e

le-su

ě

ke-lok

i

i-tik

o

o-tot

u

hu-lu
Huruf DiftongContoh

ai

san-tai dan bukan san-ta-i

oi

se-poi dan bukan se-po-i

oi

am-boi dan bukan am-bo-i

Contoh sebutan baku dan tidak baku

Berikut adalah contoh sebutan tidak baku yang menjadi sebutan kebiasaan rakyat Malaysia:

EjaanBunyi (sebutan) bakuBunyi tidak baku
Kitaki-taki-te
Sayasa-yasa-ye
Industriin-dus-triin-das-tri
Pedagogipě-da-go-gipě-da-go-ji
Faktorfak-torfěk-ter
Unitu-nityu-nit
Uniku-nikyu-nik
Universitiu-ni-ver-si-tiyu-ni-ver-si-ti
Kampuskam-puskěm-pes

Pengecualian sebutan baku

Sebutan baku tidak digunapakai untuk beberapa keadaan iaitu:

Nama orang dibunyikan menurut kebiasaan orang yang empunya nama atau kebiasaan setempat atau kebiasaan antarabangsa. Contohnya:

EjaanSebutanBukan
James Bondjéms bÕndja-mes bon
Nelson MandelanẼl.sen man.dé.lanel-sen man-de-la
Lim Keng Yaiklim kéng yéklim keng ya-ik
Boutros Boutros-Ghalibut.ros but.ros gha.libo-u-tros bo-u-tros gha-li
Bjorn Borgbe-yon bogbe-jon bog
Sade (penyanyi)sha-deysa-dey

Nama tempat di Malaysia atau di luar Malaysia dilafazkan menurut kebiasaan sebutan setempat atau kebiasaan antarabangsa. Contohnya:

EjaanSebutanBukan
New Zealandni-u zi-lenni-u ze-ya-lan
Sunway Lagoonsan-wey la-gunsun-wai la-gon
Ajaxae-yeka-jak

Akronim yang terbentuk dari gabungan suku kata dalam bahasa Inggeris akan dikekalkan sebutannya dalam bunyi Inggeris. Contohnya:

EjaanSebutan
UNESCO[yu.nés.ko] atau (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization)
UMNO[am.no] atau (United Malays National Organization) (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu)

Akronim yang terbentuk dari gabungan huruf pangkal perkataan dilafazkan dengan dua cara, iaitu (i) cara sebutan singkatan menurut bunyi huruf Rumi, atau (ii) cara sebutan ungkapan atau nama yang penuh. Contohnya:

EjaanSebutan
DBP[di.bi.pi] atau (Dewan Bahasa dan Pustaka)
TLDM[ti.él.di.ém] atau (Tentera Laut Diraja Malaysia)
JKKK[jé.ké.ké.ké] atau (Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung)
RTM[ar.ti.ém] atau (Radio Televisyen Malaysia)
PLO[pi.él.o] atau (Palestinian Liberation Organization)(Pertubuhan Pembebasan Palestin)

Latihan:

  1. "Karang aku buat"
    Tukarkan ayat pasar di atas kepada ayat baku yang betul.

  2. Nyatakan masalah-masalah pelaksanaan sebutan baku.

  3. Benarkah bahasa baku mematikan dialek dan mengganggu kelancaran komunikasi?

  4. Benarkah bahasa baku menimbulkan kesulitan memahami sesuatu?

  5. Benarkah sebutan baku menghilangkan identiti kemalaysiaan?

  6. Benarkah sebutan baku adalah pengaruh Indonesia?

2 comments:

  1. Terima kasih kerana sudi berkongsi ilmu :D

    ReplyDelete
  2. Ya Allah..sungguh sedih bahasa melayu di Malaysia kerana tidak seragam...Kerajaan hendaklah memperkenalkan bahasa melayu baku...Tolong lah..selamatkan bahasa melayu kita.Janganlah menghilangkan bahasa melayu

    ReplyDelete