Nov 8, 2016

Dasar Bahasa

Dasar Bahasa di Malaysia ialah bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara. Sebagai bahasa kebangsaan negara, Bahasa Melayu hendaklah digunakan sebagai bahasa urusan rasmi kerajaan dan negara.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan.

Melalui peruntukan ini, bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan untuk digunakan dalam semua maksud rasmi. Maksud 'rasmi' tersebut ditakrifkan oleh Perkara 152 sebagai “apa-apa jua maksud kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau kerajaan Negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”.

Dasar Bahasa Kebangsaan di Malaysia dilaksanakan dengan berasaskan undang-undang negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152) dan Akta Bahasa Kebangsaan. Akta Pendidikan (mulanya Akta Pelajaran 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996) pula berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara. Badan yang diberi amanah secara khusus merancang bahasa Melayu ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (nama asalnya ialah Balai Pustaka), dengan berdasarkan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (mulanya Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 dan kemudian Akta Dewan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka, Pindaan dan Peluasan 1995).

Sejarah penentuan dasar bahasa

Dahulu Tanah Melayu yang bakal merdeka sebagai negara berbilang bangsa dan bahasa menghadapi masalah untuk menentukan bahasa apakah yang patut digunakan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kerajaan atau negara. Ini kerana kerajaan tempatan yang bakal ditubuhkan untuk mengambil pemerintahan dari British pada masa itu terdiri daripada gabungan tiga kaum utama iaitu Melayu (UMNO), Cina (MCA) dan India (MIC). Masalah yang timbul itu mempunyai kaitan dengan isu ideologi perkauman, perpaduan bangsa dan jati diri negara.

Diringkaskan cerita, Bahasa Melayu telah disepakati untuk dipilih sebagai bahasa yang akan menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negara yang merdeka selepas tahun 1957, di samping mengangkat tarafnya menjadi bahasa kebangsaan yang kemudiannya diharap akan terus berfungsi sebagai bahasa komunikasi luas dalam masyarakat pelbagai kaum dan bahasa yang wujud di Tanah Melayu pada masa itu.

Akhirnya termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bahawa 'Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu'.

Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara tercapai hasil dari kompromi pemimpin pelbagai parti pada masa itu yang bersetuju menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Persetujuan yang dicapai tersebut adalah bersandarkan kepada beberapa faktor:

  1. Memang terdapat banyak kaum pada masa itu namun Bahasa Melayu diakui sebagai bahasa yang paling banyak dipertuturkan oleh penduduk Tanah Melayu pada masa itu.

  2. Malah, bahasa Melayu telah menjadi bahasa ‘lingua-franca’ (perantaraan) sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 lagi.

  3. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa penduduk asal Tanah Melayu sebelum kedatangan masyarakat Cina dari Tanah Besar China dan kaum India dari selatan India.

  4. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang paling sesuai dijadikan identiti Tanah Malayu yang bakal merdeka pada masa itu memandangkan bahawa Tanah Melayu pada masa itu ialah tanah air orang Melayu.

Sejauhmanakah dasar bahasa berjaya dilaksanakan di Malaysia?

Walaupun kedudukan bahasa kebangsaan adalah jelas dan termaktub dalam perlembagaan, namun kedudukannya di kalangan masyarakat Malaysia masih tidak begitu memberangsangkan. Ini kerana dasar bahasa kebangsaan tidak begitu dihayati dan diamalkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia.

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan ini:

  1. Semangat dan kesungguhan yang belum cukup mantap dalam penggunaan bahasa Melayu. Sebagai buktinya, bahasa Melayu kehilangan tempat dan peranan dalam majlis-majlis rasmi. Dalam majlis-majlis rasmi, bahasa Inggeris masih diutamakan.
  2. Penggunaan bahasa Melayu yang rendah mutunya. Pengguna bahasa Melayu secara umumnya tidak mempedulikan mutu bahasa Melayu itu sendiri. Aspek mesej yang hendak disampaikan lebih dipentingkan daripada aspek tatabahasa (cara penyampaian). Apabila aspek mesej yang lebih diutamakan, penggunaan tatabahasa dan hukum bahasa akan diabaikan.
  3. Bahasa Melayu juga dianggap kurang mampu menjadi bahasa pengantar ilmu. Ini kerana masih kurang bahan-bahan bacaan ilmiah dalam bahasa Melayu. Pelajar IPTA dan IPTS menggunakan bahan rujukan bahasa Inggeris untuk mendapatkan ilmu.
  4. Masalah kekurangan istilah dalam pelbagai bidang, atau istilah yang kerap berubah. Masalah ini dihadapi oleh para pendidik dan pelajar. Kemuncak masalah ini ialah apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar untuk mengajar Matematik dan Sains di sekolah-sekolah.
  5. Bidang morfologi bahasa Melayu mempunyai beberapa sistem yang tidak konsisten. Misalnya terdapat pengecualian keselarasan vokal bila menggunakan istilah yang berasal dari luar. Terdapat banyak istilah yang sudah biasa digunakan tetapi sebenarnya adalah salah daripada segi morfologi. Contoh: mentua dan bukan mertua. Perkataan mertua adalah salah, namun digunakan dengan meluas, termasuk dijadikan tajuk filem lagenda P.Ramlee yang terkenal iaitu ‘Ibu Mertuaku’.

Antara lain-lain cabaran pelaksanaan dasar bahasa

  1. Media cetak dan media elektronik baharu yang cenderung bebas dari norma adab dan akhlak.
  2. Pelan Memperkasa Bahasa Kebangsaan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang masih longgar.
  3. Kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.
  4. Pemilihan nama yang tidak bercitra kebangsaan bagi taman perumahan dan gedung perniagaan atau institusi.
  5. Slogan 'Bahasa Jiwa Bangsa' seolah-olah hanya terucap di bibir tetapi tidak terlihat pada realiti.
  6. Ada semacam ketirisan yang amat memilukan dalam kalangan penguatkuasa dan orang yang diberi amanah supaya citra negara iaitu bahasa kebangsaan dimartabatkan.
  7. Perkataan yang bercampur-aduk, istilah-istilah luar yang tidak menggambarkan resam tempatan, nama-nama taman dan bangunan yang asing bunyi dan maksudnya adalah perkara-perkara lazim terdapat seolah-olah dalam negara ini tidak ada peraturan dan undang-undang untuk mengawalnya.
  8. DBP semacam tidak dirujuk.
  9. Papan tanda dan iklan dibuat sesuka hati.
  10. Universiti Awam (UA) lembab dalam Pelan Memperkasa Bahasa Kebangsan di IPT lebih-lebih lagi di IPTS.
  11. Kedapatan pihak-pihak yang secara terang-terangan meremeh dan menghina bahasa kebangsaan. Konon mengguna bahasa kebangsaan dan meletakkan imej kemalaysiaan dalam nama bangunan dan institusi adalah ketinggalan zaman, tidak memikat pelancong dan tidak berwatak antarabangsa.
  12. Dalam kalangan sesetengah orang kita termasuk sebahagian orang Melayu sendiri berasa kerdil dengan penggunaan bahasa kebangsaan ini malah terikut-ikut dengan gelagat kelompok yang mementingkan pulangan komersil semata-mata.

1 comment:

  1. Terima kasih atas perkongsian maklumat dan informasi yang sangat bermanfaat ini

    ReplyDelete