Dec 31, 2016

Sistem Ejaan - Tanda Baca

Dalam sistem ejaan bahasa Melayu ada 15 tanda baca yang telah digunakan dengan mantap iaitu tanda koma (,), tanda titik atau noktah (.), tanda pisah (-), tanda sempang (-), tanda elipsis (...), tanda titik bertindih (:), tanda koma bertitik (;), tanda soal (?), tanda seru (!), tanda kurung (( )), tanda kurung siku ([ ]), tanda petik (" "), tanda petik tunggal (' '), tanda garis miring (/) dan tanda penyingkat (').

1. Tanda titik atau noktah (.)

  • Diletakkan di hujung ayat bagi menandakan yang binaan sesuatu ayat telah selesai.
  • Menandakan kependekan bagi satu-satu perkataan. Contoh:
    • P.Ramlee (Putih Ramli)
    • Sdn. Bhd. (Sendirian Berhad)
  • Diletakkan pada akhir singkatan gelaran, pangkat atau sapaan hormat. Contoh:
    • Dr. (doktor)
    • En. (encik)
    • Pn. (puan)
    • Kol. (kolonel)
    • Hj. (haji)
    • Tg. (tengku)
    • Tn. (tuan)
    • Prof. (profesor)
  • Singkatan kata bagi ungkapan yang sudah sangat umum. Contoh:
    • b.p. (bagi pihak)
    • s.k. (salinan kepada)
    • u.p. (untuk perhatian)
    • dll. (dan lain-lain)
    • hlm. (halaman)
  • Diletakkan selepas nombor dalam senarai. Contoh:
    • 1. Almari
    • 2. Meja
    • 3. Kerusi
  • Sebagai tanda perpuluhan. Contoh:
    • 1.5
    • 3.4
    • 0.1

2. Tanda titik bertindih (:)

  • Digunakan dalam penulisan sebelum memperkenalkan atau menyenaraikan sesuatu atau untuk menambah keterangan-keterangan. Contoh:
    • Prinsip hidup saya jelas: tekun dan ikhlas.
    • Terdapat pelbagai jenis senjata: senapang, lembing, kerambit.
  • Memisahkan keterangan. Contoh:
    • Sebenarnya ada banyak contoh. Misalnya:
    • Politik kini: Prinsip dan Persoalan.
  • Digunakan dalam penulisan teks drama atau skrip drama. Contoh:
      Ajis:Siapa engkau?
      Ramlee:Akulah raja
      Ajis:Raja apa?
      Ramlee:Raja Gopal
  • Digunakan dalam pelbagai jenis borang. Contoh:
      Nama: ________
      Alamat: ________
      Jantina: ________
  • Menunjukkan nisbah. Contoh: Nisbah 1:2.

3. Tanda koma (,)

  • Tanda pemisah dalam sesuatu binaan ayat.
  • Untuk mengasingkan kata yang berturut-turut dalam satu ayat yang sama. Contoh: Emak membeli ikan, gula, sayur, tepung dan kueh.
  • Diletakkan di belakang kata seru. Contoh: Amboi, marahnya dia!
  • Untuk membezakan makna atau mesej dalam sesuatu ayat. Contoh:
      AyatMaksud
      Bunuh jangan, bebaskan!Jangan bunuh orang itu. Bebaskan dia.
      Bunuh, jangan bebaskan!Matilah orang itu. Kesian..

4. Tanda koma bertitik (;)

  • Sebagai tanda memisahkan bahagian-bahagian ayat yang sejenis atau setara. Contoh:
      Hari dah nak malam; kamu belum habiskan kerja lagi.
  • Digunakan untuk memisahkan ayat yang setara dalam suatu ayat majmuk sebagai pengganti kata penghubung. Contoh:
      Kakak menyiapkan kertas kerjanya; emak bekerja di dapur; adik asyik menonton tv; ayah bersembang dengan jiran sebelah.

5. Tanda sempang (-)

Tanda sempang (-) ditulis rapat dengan perkataan sebelum dan selepasnya. Contoh penggunaan:
  • Menegaskan pemisahan suku kata. Contoh: Perkataan 'bagaimana' ada sempat suku kata iaitu ba-gai-ma-na.
  • Memisahkan angka. Contoh: 03-40216900
  • Menggabungkan kata dasar yang dipendekkan. Contoh: Indo-Belanda.
  • Menunjukkan kata ganda. Contoh: batu-batu, keping-keping, gotong-royong.
  • Memisahkan perkataan dengan kata ganti nama ALlah. Contoh: hamba-Mu, rahmat-Nya.
  • Memisahkan kata sendi ke dengan angka. Contoh: Kelima atau ke-5.

6. Tanda pisah ( – )

Tanda pisah adalah dua kali lebih panjang dari tanda sempang. Berbeza dengan tanpa sempang yang dieja rapat dengan perkataan sebelum dan selepasnya, tanda pisah dieja secara terpisah. Antara contoh penggunaannya adalah:
  • Untuk memisahkan keterangan bagi suatu idea. Contoh: Terdapat pelbagai emosi dalam novelnya – sedih, marah, meluat.
  • Untuk menunjukkan aliran pemikiran penulis yang terganggu atau terhenti. Contoh: Dialah Mat Kilau – pejuang Melayu Pahang yang menentang penjajah British.
  • Untuk menggantikan perkataan ‘hingga’ atau ‘ke’. Contoh: Peristiwa yang berlaku antara tahun 1948 – 1960 (1948 hingga 1960). Perjalanan antara Kuala Lumpur – Johor (Kuala Lumpur ke Johor).

7. Tanda elipsis (…)

Tanda elipsis ialah tanda tiga titik (...). Antara kegunaan elipsis adalah untuk:
  • Menunjukkan pengguguran, pembuangan atau ditiadakan bahagian-bahagian tertentu dalam sesuatu ayat. Contoh: “Rezekinya datang tanpa diduga…”
  • Menunjukkan hentian sebentar dalam pengucapan (biasanya dalam cerpen atau novel) kerana pemikirannya belum selesai atau sengaja tidak mahu meneruskan keterangan. Keterangan telah 'digugurkan'. Contoh: “Lupakanlah aku, kerana aku…”

8. Tanda tanya atau tanda soal (?)

  • Dalam bahasa persuratan, tanda soal diletakkan dihujung sesuatu soalan. Tanda soal dieja rapat dengan perkataan sebelumnya. Contoh: Siapakah anda?
  • Menunjukkan ada fakta atau fakta-fakta yang diragui (tanda soal diletakkan dalam kurungan). Contoh: Menurut Tok Ketua Kampung, Mat Kilau dilahirkan pada tahun 1952(?).

9. Tanda seru (!)

Tanda seru (!) diletakkan di hujung kata atau ayat. Pada kebiasaanya tanda seru memberi gambaran emosi atau perasaan seperti perasaan marah (Cis! Bedebah!), suka (Aku gumbira!), memperli (Amboi!), terperanjat (Alamak!).

10. Tanda kurung ( )

  • Mengapit singkatan atau akronim. Contoh: Semalam kami pergi ke UM (Universiti Malaya).
  • Mengapit penjelasan tambahan. Contoh: Kakak menggunakan tetikus (mouse) baru pada komputer ayah.
  • Mengapit keterangan atau penjelasan sumber bahan rujukan. Contoh: Merujuk buku Tatabahasa Dewan (Nik Safiah Karim, 1994).
  • Mengapit nombor atau huruf yang menunjukkan bilangan. Contoh: (i), (ii), (c).

11. Tanda kurung siku [ ]

  • Mengapit tahun dalam tatacara sebutan kes diikuti dengan rujukan halaman. Contoh: Azimah lwn Nordin [1968] MLJ 123.
  • Mengapit keterangan dalam kalimat perjelas yang terdapat dalam tanda kurung. Contoh: Persamaan kedua proses tersebut (perbezaannya dikupas dalam Bab 9 [lihat halaman 31-42]) adalah dinyatakan di sini.
  • Bolehlah anggap tanda kurung siku ini ialah 'satu lagi tanda kurung dalam tanda kurung yang sedia ada'.

12. Tanda petik (“…”)

Mengapit cakap ajuk (perbualan). Mengapit judul rencana, tajuk sajak. Mengapit istilah ilmiah atau yg ada makna khusus. Contoh: Kami mengkaji tentang “anatomi” semalam.

13. Tanda petik tunggal (‘…’)

Mengapit perkataan yang sudah ada dalam tanda petik. Contoh: “Amboi, sejak ada ‘orang baru’, kamu makin sombong.”

14. Tanda garis miring (/)

  • Juga disebut 'palang'
  • Digunakan dalam nombor rujukan rasmi. Contoh:
    • DBP/174/12/4 K.5 (28)
  • Pengganti kata ‘dan’, ‘atau’, dan ‘per’. Contoh:
    • Tan Sri/Tun/Datuk (dalam surat rasmi)
    • Kelajuan 35km/j (kiometer per jam)
  • Menyatakan nilai pecahan dalam Matematik. Contoh: 1/4, 1/2, 3/4.

15. Tanda penyingkat (‘)

  • Menunjukkan ada bahagian yang hilang.
    Contoh:
    Malam ‘dah (sudah) tiba.
    Kejadian pada tahun ’98 (1998).

5 comments:

  1. Amat bermanfaat sekali.

    ReplyDelete
  2. Akhir sekali: Tanda pengingkat atau penyingkat?

    ReplyDelete
  3. Tanda titik; Y.A.B (akronim) sepatutnya dieja YAB tanpa titik.

    ReplyDelete