Nov 8, 2016

Konsep Bahasa dan Bahasa Melayu

Bahasa ialah suatu kaedah yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi sesama sendiri sama ada melalui pertuturan (lisan), tulisan, atau isyarat dan simbol tertentu. Kaedah yang paling utama yang digunakan untuk berkomunikasi sudah tentulah melalui percakapan / pertuturan / lisan.

Bentuk-bentuk Bahasa

Bahasa lisan
Bahasa lisan ialah bahasa yang terhasil melalui bunyi kata-kata (ujaran) yang keluar melalui mulut, yang disusun menjadi ayat yang sempurna maksudnya, atau yang boleh menyampaikan maksud. Bunyi yang keluar dari mulut manusia tetapi tidak membawa apa-apa makna dianggap bukan bahasa sebaliknya hanyalah 'bunyi' semata-mata. Oleh itu kata-kata yang keluar dari mulut manusia mestilah disusun mengikut tatabahasa tertentu supaya boleh difahami oleh orang lain.

Bahasa tulisan
Bahasa tulisan pula tidak mempunyai bunyi tetapi dihasilkan menggunakan kata-kata atau ayat yang dieja dan disusun dalam satu susunan kata-kata yang membentuk ayat yang sempurna tatabahasanya.

Bahasa isyarat
Bahasa isyarat pula ialah penggunaan simbol, lambang atau warna yang mempunyai maksud tertentu yang secara umumnya difahami oleh orang ramai. Contoh yang paling mudah ialah 'warna merah' lampu isyarat di jalan raya. Warna merah tersebut membawa maksud 'berhenti', manakala warna hijau pula bermaksud 'boleh jalan'. Warna oren pula bermaksud 'bersedia untuk berhenti'.

Isyarat asap (smoke signal) adalah salah satu bahasa isyarat yang paling tua di dunia. Isyarat asap digunakan untuk memberi berita, memberitahu tentang bahaya, atau mengumpulkan orang ramai. Kaedah komunikasi visual ini boleh menyampaikan maklumat untuk jarak yang sangat jauh. Misalnya, tentera China zaman purba menggunakan isyarat asap dari satu menara Tembok Besar China ke menara yang lain. Melalui kaedah ini, tentera China mampu menyampaikan maklumat sejauh 750 km dalam masa beberapa jam sahaja. Asab pelbagai warna dihasilkan dengan membakar tahi serigala yang dicampur dengan herba tertentu.

Maksud Bahasa

Bahasa merupakan ucapan fikiran dan perasan manusia secara teratur yang mana sebahagian besarnya mempergunakan bunyi sebagai alatnya.

Selain daripada mampu memberi gambaran tentang bangsa penuturnya, bahasa juga dapat memberi gambaran tentang latar budaya sesuatu masyarakat.

Terdapat pelbagai takrifan lain tentang bahasa yang diberikan oleh pihak-pihak yang berbeza. Secara ringkasnya, bahasa ialah

  • satu sistem untuk mewakili benda, tindakan, idea dan keadaan
  • alat untuk menyampaikan konsep realiti seseorang ke dalam fikiran orang lain
  • satu sistem maksud yang ingin dikongsikan bersama
  • sejenis kod yang yang digunakan oleh ahli linguistik untuk membezakan antara bentuk perkataan dan maksud perkataan
  • sebutan yang menepati tatabahasa yang telah ditetapkan
  • satu penuturan yang dapat difahami oleh masyarakat linguistik (golongan pengkaji bahasa)
  • suatu bentuk pemikiran

Menurut Kamus Linguistik (1997), bahasa adalah keupayaan fitrah manusia yang berupa satu sistem lambang bunyi bersuara arbitrari yang dipersetujui bersama oleh satu kelompok masyarakat atau satu kumpulan sosial dan digunakan sebagai alat untuk berinteraksi sesama sendiri.

Menurut Kamus Dewan, edisi keempat, bahasa ialah 'sistem Lambang bunyi suara' yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia.

Yunus Maris dalam Kamus Fajar mendefinisikan bahasa sebagai tutur kata, pertuturan, bunyi yang dituturkan oleh manusia, yang menjadi perkataan, rangkai kata, ayat, apa-apa sahaja yang tertulis, adab dan budi pekerti. Beliau lebih menekankan tiga unsur utama iaitu (1) pertuturan yang terangkum di dalamnya bunyi, perkataan dan ayat, (2) manuskrip atau bahan bertulis, dan (3) adab atau sopan santun.

A.S. Hornby dan E.C. Parnwell dalam The Progressive English Dictionary pula mendefinisikan bahasa sebagai perkataan dan penggunaannya yang diwujudkan oleh sesuatu bangsa dan digunakan oleh negara tersebut. Dengan perkataan lain bahasa ialah cara penggunaan perkataan yang tertentu oleh penutur atau bangsa sesebuah daerah atau negara.

Daripada sudut linguistik, bahasa ialah satu sistem bunyi-bunyi vokal dan konsonan, dengan urutan bunyi yang dipakai sewenang-wenangnya ataupun digunakan dalam komunikasi oleh sekumpulan manusia.

Bidang Kajian Bahasa

Bidang kajian bahasa meliputi aspek fonologi, morfologi, sintesis dan semantik (kajian tentang makna). Selain itu terdapat kajian psikolinguistik, sosiolinguistik, dialektologi (kajian tentang bahasa dialek atau slanga), linguistik sejarah dan lain-lain lagi. Bidang kajian lain ialah etimologi (mengkaji asal usul dan perkembangan sesuatu kata). Kesemua bidang kajian ini, mempunyai hubungan rapat antara bahasa dan masyarakat kerana sudah sememangnya yang menggunakan bahasa itu ialah anggota masyarakat itu sendiri.

Kenapakah Manusia Bertutur (menggunakan bahasa)

Salah satu sebab utama ialah untuk menyampaikan maklumat yang difikirkan atau diterbitkan daripada akal manusia. Selain itu, percakapan (melalui bahasa) membolehkan manusia menerima maklumat daripada persekitaran fizikal dan sosial, sama ada dalam bentuk rangsangan lisan ataupun tulisan

Fungsi utama bahasa, seperti disebutkan di atas, adalah sebagai alat komunikasi, atau sarana untuk menyampaikan informasi (fungsi informatif). Tetapi, bahasa pada dasarnya lebih dari sekadar alat untuk menyampaikan informasi, atau mengutarakan pikiran, perasaan, atau gagasan, karena bahasa juga berfungsi:

  • untuk tujuan praktis: mengadakan hubungan dalam pergaulan sehari-hari

  • untuk tujuan artistik: manusia mengolah dan menggunakan bahasa dengan seindah-indahnya guna pemuasan rasa estetis manusia

  • sebagai kunci mempelajari pengetahuan-pengetahuan lain, di luar pengetahuan kebahasaan

  • untuk mempelajari naskah-naskah tua guna menyelidiki latar belakang sejarah manusia, selama kebudayaan dan adat-istiadat, serta perkembangan bahasa itu sendiri (tujuan filologis).

Kenapakah kita menggunakan bahasa?

Manusia menggunakan bahasa untuk bertanyakan sesuatu, memberitahu sesuatu, meluahkan rasa hati.

Bahasa Malaysia

Bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan negara Malaysia yang mengikuti piawaian ditetapkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Bahasa Malaysia lebih daripada 80% kognitif dengan Bahasa Indonesia dan dituturkan asli oleh lebih daripada 10 juta orang. Bahasa Malaysia dituturkan sebagai bahasa kedua oleh 18 juta orang, sebahagian besar daripada etnik minoriti negara Malaysia. Namun begitu, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, menyebut bahawa: "Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu".

Bahasa Melayu vs Bahasa Malaysia

Bahasa ini dipanggil dengan pelbagai nama, namun nama yang paling popular ialah "Bahasa Melayu" dan "Bahasa Malaysia". Namun begitu, di Malaysia, kekeliruan telah muncul dalam kalangan rakyat mengenai nama apakah yang patut digunakan untuk bahasa kebangsaan negara itu secara tepat dan muktamad.

Ada pihak yang memikirkan "Pada era kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri pertamanya memperkenalkan istilah "Bahasa Malaysia" sebagai nama untuk bahasa kebangsaan Malaysia. Istilah ini kemudiannya diguna pakai secara meluas." Sebenarnya istilah Bahasa Malaysia itu tidak disumbangkan oleh YAB Tunku Abdul Rahman, tetapi timbul secara spontan selepas tragedi 13 Mei 1969. Ini terbukti dalam liputan akhbar pada masa tersebut. Pada masa itu wujud semacam persetujuan ramai terhadap istilah Bahasa Malaysia. Namun, Perlembagaan Malaysia tidak berubah.

Pada tahun 1986, istilah "Bahasa Malaysia" ditukar kepada "Bahasa Melayu". Penukaran ini dibuat selaras dengan apa yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, iaitu: "Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu".

Namun begitu, Pada 4 Jun 2007, Kabinet Malaysia telah membuat keputusan untuk menukarkan penggunaan "Bahasa Melayu" kepada "Bahasa Malaysia". Kabinet mengarahkan supaya semua kementerian, universiti dan pusat pengajian tinggi supaya memaklumkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menggunakan istilah "Bahasa Malaysia" dalam surat-menyurat, notis dan dokumen. Rasionalnya ialah untuk menanam semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Pada 5 November 2007, Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Seri Zainuddin Maidin, menegaskan lagi bahawa penggunaan istilah baru "Bahasa Malaysia" adalah muktamad.

Sejarah Penulisan Tulisan Melayu

Adalah dipercayai bahasa tulisan bahasa Melayu yang mula-mula dipakai adalah tulisan Pallava yang berasal dari India. Tulisan asal ini kemudiannya mengalami perubahan secara berperingkat. Daripada tulisan Pallava, perubahan berlaku menjadi tulisan Kawi, kemudiannya tulisan Jawi, dan akhirnya sekarang kita menggunakan tulisan Rumi.

Sekarang ini, Bahasa Malaysia ditulis dalam kaedah Rumi dan kadangkalanya dalam kaedah Jawi untuk pengupacaraan agama. Kaedah Rumi merupakan kaedah rasmi Bahasa Malaysia seperti yang dimaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Kaedah tersebut paling kerap digunakan dalam kehidupan seharian. Walaubagaimanapun, tetap ada pelbagai usaha yang dilancarkan untuk menghidupkan semula kaedah penulisan Jawi.

Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia pula merujuk kepada sistem ejaan yang telah diisytiharkan penggunaannya serentak di Kuala Lumpur dan di Jakarta pada tanggal 16 Ogos 1972. Di Kuala Lumpur, pengisytiharan tersebut dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak bin Hussain manakala di Jakarta, pengisytiharan tersebut dilakukan oleh Presiden Suharto. Mulai saat itu, bahasa Melayu di Malaysia dan bahasa Indonesia menggunakan sistem ejaan yang sama.

Skop Penggunaan Bahasa Melayu

Bahasa Melayu yang disebut sebagai Bahasa Malaysia sekarang ini dijadikan bahasa rasmi tunggal di Semenanjung Malaysia pada 1968, dan di Sabah dan Sarawak mulai 1974. Walaupun status Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi disangkalkan dan penglibatannya dalam hal ehwal pentadbiran dikurangkan, Bahasa Inggeris turut merupakan sebuah Bahasa Kedua yang penting.

Pengaruh Bahasa Asing dalam Bahasa Melayu

Sejak zaman kuno lagi, Bahasa Melayu telah banyak menyerap pengaruh bahasa-bahasa asing seperti Sanskrit, Inggeris, Portugis, Jawa, dan Arab.

Terdapat 131 perkataan dalam Bahasa Melayu sekarang yang berasal daripada bahasa Portugis. Penyerapan bahasa asing ini berlaku semasa bangsa Portugis menjajah Melaka pada tahun 1511 hingga 1641. Beberapa contoh perkataan Portugis yang diserap dalam bahasa Melayu adalah seperti berikut:

Bahasa PortugisBahasa Melayu
Armario Almari
BolaBola
CamisaKemeja
DadoDadu
KursiKerusi
GarfoGarpu
IgrejaGereja
LimaoLimau
MenteigaMentega
DomingoMinggu
PadrePaderi
ToalhaTuala
JanelaJendela
EscolaSekolah
SabadoSabtu
SabaoSabun
SapatoSepatu

No comments:

Post a Comment