Nov 7, 2016

Proses Pembentukan Kata

Kata ialah unit bahasa yang mengandungi makna dan terdiri dari satu atau lebih morfem. Kata merupakan bahasa terkecil yang dapat berdiri sendiri. Gabungan kata-kata akan membentuk frasa, klausa, dan seterusnya menjadi ayat.

Kata dasar iaitu kata yang tunggal dan belum mengalami perubahan atau pengembangan dinamakan kata tunggal. Kata tunggal ini tidak mengalami imbuhan, penggandaan (ulangan) atau penggabungan (pemajmukan).

Kata dasar ini pula terbentuk daripada suku kata atau gabungan suku kata. Sebagai contoh, kata 'wah' ialah kata yang terbentuk daripada satu suku kata, manakala kata 'kamu' terbentuk daripada dua suku kata (iaitu 'ka' + 'mu').

Suku kata yang boleh membentuk kata tadi itu pula terbentuk hasil daripada gabungan huruf-huruf (iaitu huruf vokal, konsonan, diftong, dan gugus konsonan).

Oleh itu, kata terbentuk hasil daripada gabungan huruf yang membentuk suku kata dan gabungan suku kata itu pula kemudiannya membentuk kata iaitu kata tunggal. Kata tunggal ini pula kemudiannya boleh berubah menjadi kata terbitan apabila menerima imbuhan, menjadi kata ganda apabila digandakan atau diulang-ulang, dan menjadi kata majmuk apabila digabungkan.

Kata Tunggal+imbuhan=Kata Terbitan
Kata Tunggal+pengulangan=Kata Ganda
Kata Tunggal+gabungan=Kata Majmuk

No comments:

Post a Comment